SHAH ALAM, 2 FEB: Semua Taman Eko Rimba dan laluan pendakian di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dibuka semula kepada orang awam bermula semalam.
Agensi itu menerusi Facebook memberitahu, orang awam perlu terlebih dahulu memohon permit sebelum melakukan sebarang aktiviti melalui pautan berikut forestry.selangor.gov.my
“Semua pendaki dinasihatkan mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan bersama,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, JPNS menutup semua laluan pendakian bermula 17 November 2025 hingga 31 Januari 2026 berikutan musim tengkujuh.
Orang ramai juga diingatkan bahawa memasuki Hutan Simpanan Kekal tanpa permit sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.



