KPDN pasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan tahun ini

1 Feb 2026, 8:20 AM
KPDN pasang CCTV di stesen minyak kawasan sempadan tahun ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen minyak di kawasan sempadan mulai tahun ini.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata langkah tersebut bagi membanteras ketirisan serta penyelewengan subsidi petrol RON95 dan diesel, lapor Harian Metro.

Katanya, pemantauan menggunakan teknologi itu diyakini mampu mengesan taktik sindiket yang disyaki beroperasi dengan kerjasama pihak tertentu di lokasi berisiko tinggi.

"Seorang individu boleh menyedut atau mengisi petrol sehingga 40 tong jerikin jika tidak ada kerjasama daripada pihak-pihak tertentu.

"Oleh sebab itu, teknologi seperti pemasangan CCTV dan penggunaan data akan menjadi asas penting untuk membantu siasatan serta tindakan penguatkuasaan.

"Pemasangan CCTV itu akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak industri dan dikawal sepenuhnya oleh KPDN bagi memastikan rakaman boleh digunakan sebagai bahan bukti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan di stesen minyak di Rantau Panjang, Kelantan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata, KPDN memasang 17 papan tanda larangan import dan eksport di semua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) membabitkan negeri sempadan.

"Papan tanda amaran ini memaparkan dengan jelas larangan pembelian RON95 oleh warga asing serta larangan membawa keluar minyak masak paket dan barangan kawalan lain.

"la lengkap dengan gambar dan maklumat supaya sesiapa sahaja yang masuk atau keluar negara tahu apa yang tidak boleh dibawa keluar dari Malaysia," katanya.