Ops Jack Sparrow: PDRM bawa pulang seorang suspek geng Kapten Praba

1 Feb 2026, 7:39 AM
Ops Jack Sparrow: PDRM bawa pulang seorang suspek geng Kapten Praba

GOMBAK, 1 FEB: Polis membawa pulang seorang lagi anggota kumpulan jenayah dikenali sebagai geng ‘Kapten Praba’, kali ini dari Thailand, dalam usaha berterusan mengesan saki-baki ahli kumpulan berkenaan.

Ia menjadikan keseluruhan empat suspek utama Ops Jack Sparrow berjaya dibawa pulang ke negara ini, selepas tiga ahli kumpulan itu sebelum ini diekstradisi dari Mumbai, India hasil kerjasama erat antara PDRM dan pihak berkuasa negara terlibat.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata suspek berkenaan tiba di Malaysia kira-kira jam 10.30 malam tadi sebelum dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman.

“Kerjasama pihak polis Thailand banyak membantu melancarkan proses membawa pulang suspek ke negara ini,” katanya ketika ditemui pada Program Kepolisan Komuniti Lawatan Ketua Polis Negara ke Program ‘Thaneer Panthal’ PDRM di Kuil Sri Subramania Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Menurut Mohd Khalid, suspek berkenaan dipercayai bersembunyi di India sebelum cuba melarikan diri ke Thailand bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, namun cubaan itu gagal apabila kemasukannya ke negara berkenaan ditolak pihak berkuasa Thailand.

“Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) dan PDRM bagi tujuan penyelarasan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, 17 ahli kumpulan itu sudah ditahan manakala 15 lagi masih bebas dan sedang dikesan, dengan lokasi mereka sudah dikenal pasti pihak polis.

“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan semua ahli kumpulan yang masih bebas akan dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Mohd Khalid turut memaklumkan kerjasama rapat antara PDRM dengan pihak polis India dan Thailand memainkan peranan penting dalam aspek perkongsian maklumat risikan serta penyelarasan tindakan rentas sempadan sepanjang pelaksanaan Ops Jack Sparrow.

Sebelum ini, media melaporkan tiga penjenayah dikehendaki yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Mumbai sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi proses dokumentasi dan seterusnya ke Mahkamah Sepang untuk permohonan reman.

Kumpulan jenayah itu dipercayai aktif sejak 2023 dan dianggotai 33 individu, diketuai seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Kapten Praba’, serta disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan dan khianat dengan api.