SHAH ALAM, 1 FEB: Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) mendapati ramai kanak-kanak di Selangor berdepan masalah berat badan berlebihan dan obesiti sejak program itu dilaksanakan pada Julai 2025.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata, saringan Indeks Jisim Badan (BMI) terhadap 481 kanak-kanak menunjukkan hanya 273 mempunyai berat badan normal, manakala selebihnya dikenal pasti kurus, berlebihan berat badan atau obes.
Menurut beliau, seramai 87 kanak-kanak didapati kurus, 52 mengalami berat badan berlebihan dan 69 dikesan obes.
“Dapatan ini membolehkan tindakan awal diambil, termasuk nasihat pemakanan dan gaya hidup sihat yang lebih sesuai untuk setiap kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.
Jamaliah berkata, ASAS bukan sekadar program pemeriksaan kesihatan, sebaliknya membantu ibu bapa memahami keperluan pemakanan dan tumbesaran anak-anak melalui panduan daripada pakar pemakanan.
“Program ini juga memberi fokus kepada pencegahan awal masalah kesihatan kanak-kanak, khususnya obesiti,” katanya.
Sejak 2023, seramai 2,648 peserta melibatkan 2,292 kanak-kanak serta 356 ibu bapa dan penjaga menyertai 16 program ASAS di sembilan daerah di Selangor.
Program itu turut merangkumi sesi konsultasi pemakanan, pendidikan kesihatan, demonstrasi makanan sihat dan aktiviti interaktif bagi menggalakkan gaya hidup aktif sejak usia awal.
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 bagi pelaksanaan ASAS di bawah agenda Iltizam Selangor Sihat dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selangor akan terus memperluas pelaksanaan ASAS supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat daripada program kesihatan ini.


