Oleh Hamizun Syah
RIBU-RIBU gugus ilham saling berebut bergelut tindan-menindan balam-membalam bercampur tidak tentu arah berbaur tidak kenal punca bahkan bertempur hancur bertabur gugur bukan laksana geliga tetapi bagaikan kerikil terpinggir. Berminggu-minggu begitu.
Kayla bukan lelaki laut!
Di situ satu-satunya meja berbentuk bujur tidak bulat seperti yang lain. Di situ tempat beberapa warga emas berborak bermacam-macam topik. Tema kali ini tentang laut. Tentang pantai, ombak, buih-buih, kapal-kapal, rumah api, gugusan pulau sana-sini. Umpama ilhamnya yang berselerak sana-sini. Segala cerita sekitar apa yang ada di jasad air asin itu. Ya, laut! Sentiasa mengilhamkan. Namun Kayla masih belum berilham.
“Di daratan, maklumat tanpa sempadan! Di laut, sempadan tanpa maklumat!” Ucap Pak Kalim pelanggan tetap Kafe Pagi-Petang.
Kayla tahu lelaki itu seorang pesara di sebuah jabatan berwibawa. Selebihnya Kayla tidak tahu menahu. Pak Kalim seorang yang arif akan selok-belok laut. Pak Rusdan dan Wak Sani tidak kurang hebat. Jasad air asin adalah padang permainan, pesisirnya tempat belajar bercinta. Kayla bukan lelaki laut tetapi pengalaman lelaki-lelaki semeja membuatkan keinginannya memahami arus bergelora melonjak-lonjak. Semakin mengamati kisah mereka, Kayla semakin terdengar panggilan dari laut menyeru namanya.
“Gelombang Ombak Lautan Dalam…’GOLD’! Begitu nilai laut kepada semesta.” Tambah Pak Kalim serentak menuang separuh minuman dari gelas Pak Rasdun ke gelasnya. “Engkau percayakah Kayla, banyak hidupan ajaib di dasar laut, kuda laut paling istimewa?”
Angguk! Hanya itu kemampuan Kayla serentak memerhati Pak Rasdun menggeleng-geleng dengan perangai Pak Kalim sebelum ketawa bersama. Menu kafe itu tidak hanya roti canai malahan nasi lemak, bihun goreng dan lainnya. Laris!
Jam hampir 12.00 tengah hari – sajian pagi beransur tukar ke hidangan tengah hari. Segera menyedarkan betapa mereka terlalu lama lepak dan borak di situ. Mereka segera meninggalkan meja bujur di tepi tiang. Bayaran sudah beres. Wak Sani yang belanja sebelum meninggalkan mereka terus berborak.
Walaupun banyak belum terungkai setidak-tidaknya memadai untuk Kayla menisbahkan perbandingan antara laut dan ilhamnya. Kini Kayla sendirian di bilik karya. Lebih sejam skrin laptop cerah terbiar tanpa catatan. Kayla mundar-mandir mencari ilham namun tetap buntu tidak upaya menggarap meski sepatah perkataan apalagi sepotong ayat .
Tiada sebaris sajak.
Tiada serangkap cerpen.
Tiada seperenggan novel.
Kayla bukan lelaki laut. Tetapi laut sedang memanggilnya. Sungguh mengilhamkan
Pak Kalim, Pak Rasdun dan Wak Sani arif tentang laut. Kearifan semula jadi!. Bukan berguru bawah pengaruh Google, Tiktok, Facebook atau ‘Kecerdasan Buatan’.
Kearifan mereka, tulen! Kayla memang bukan lelaki laut.
Laut jadi ribut. Ilham jadi kalut.
Semua memanggil-manggil Kayla keluar dari bilik karya. Deruan omak, geselan bayu, kilas ikan-ikan, lincah sotong-sotong dan kuda laut. Ya, kuda laut paling istimewa. Menurut Pak Kalim ada yang menganggap kuda laut cuma dongeng. Sebut Pak Rasdun pula ramai juga yang percaya haiwan itu memang wujud. Wak Sani dengan pantas memintas tegas menjelaskan insiden penemuan kuda-laut memang pernah terjadi. Mendadak beberapa pelanggan terbahak-bahak.
“Jangan-jangan masih ada lagi yang fikir kuda laut cuma fantasi?” Biji mata Wak Sani terjegil menatap wajah-wajah yang meledak berbahak-bahak tadi.
Semua mulut terkatup, elak daripada gelak Pak Rasdun serta-merta terpacak tegak sekiranya ada yang tidak semena-mena menyerang. Selaku guru silat kampung Pak Rasdun tidak mungkin membiarkan teman-temannya menghadapi sekumpulan pelanggan yang baran.
“Generasi serba logik di era serba canggih ini tak akan percaya cerita Pulau Kulit. Tidak ada faedah menceritakannya . Lupakan sejarah itu!” seru Pak Kalim separuh mengarah dalam nada kecewa. Kumpulan pelanggan yang baran tadi dengan rela bersurai ke meja masing-masing.
Laut ada pasang-surut. Ilham ada timbul tenggelam.
Kayla bukan lelaki laut. Kayla masih buntu di depan laptop.
Terdengar semakin bersungguh suara samudera melaung-laung namanya.
Ungkapan ‘Pulau Kulit’ tidak semena-mena terimbau. Nyanyian berkumandang itu entah lagu apa dan entah penyanyi mana tidak penting. Biarlah laptop memainkan peranannya. Kayla lebih terangsang mencari keutamaan antara kuda laut dan Pulau Kulit. Tentu bukan sekadar sebutan. Mesti ada cerita sebalik cerita. Wajib ada pencipta sebalik setiap perkara. Mustahil sesuatu itu berlaku secara semula jadi semata-mata. Sebuah doktrin dungu dengan asas merapu.
Kayla resah, gugusan ilhamnya tetap berkabut lagi serabut. Laut tenang menyimpan khazanah rahsia luar biasa. Antara bilik karya ke laut cerita, timbul pula Kafe Pagi-Petang membawa khabar dari Pulau Kulit. Selepas desakan berpanjangan akhirnya sejarah terbongkar. Sahih atau palsu bukan matlamat. Pembongkaran itu menjawab segala musykil.
“Kuda laut! Saiznya dari setengah ibu jari hingga ke sekaki.” Sebut Pak Rasdun.
“Tentu kuda laut! Berkepala kuda dengan mulut bermuncung.” Ulang Pak Kalim.
“Sah kuda laut! Haiwan unik yang berlenggang-lenggok di dasar laut.” Wak Sani mengesahkan.
‘Kuda laut!’ Sebut Kayla, masih sendirian di bilik karya.
Dan, Kayla bukan lelaki laut sebaliknya pengejar ilham.
Tiga lelaki laut itu bercerita sambung-menyambung bersilih ganti. Dulu kala pernah ribuan ekor kuda laut memasuki sebuah pulau. Tidak sampai sekelip mata pulau kecil itu berada dalam taklukan kuda laut. Setiap kali ada kejadian tergempar sudah mesti lelaki yang hidup satu abad jadi pakar rujuk. “Makhluk itu tentera iblis dari laut dalam. Hapuskan semua.” Kata-kata tua itu menjadi fatwa.
Seratus-peratus penghuni pulau keluar dengan batang buluh padat dan melibas seekor demi seekor kuda laut. Melolong kesakitan melambung ke laut. Sebelum mati kuda laut yang nazak menggugurkan isi perutnya ke dasar dan kulitnya terapung di permukaan. Semakin lama kulit-kulit itu semakin berlambak menutup permukaan laut. Pelik? Tidak sedikit pun terbit bau busuk.
Selang beberapa hari sebuah bahtera membawa sekelompok lanun singgah di pulau itu. Kelompok lanun itu mengaut habis kulit-kulit kuda laut berselerak di situ. Tidak beberapa jam permukaan laut kembali bersih. Semasa gerombalan itu mahu pulang ke wilayah asal, sempat salah seorang lanun memberitahu:
“Kulit kuda laut susah nak dapat, sangat berkhasiat dan mahal di pasaran. Di wilayah kami kulit-kulit itu dikeringkan dan dikisarkan jadi serbuk, Kami isi serbuk itu ke sarung khas berbentuk biji kacang tanah. Tujuan memudahkan orang menelannya.” Kata-katanya terhenti.
“Di wilayah kami, serbuk kulit kuda laut ubat tenaga paling mujarab.” Seorang lagi lanun meneruskan bicara.
“Sepatutnya pulau kita yang buat untung.” Rungut salah-seorang pemuda pulau setelah bahtera tadi berlayar pulang.
Lelaki usia seabad diam memerhatikan. Mustahil dia menyesal apalagi sebagai pakar rujuk tiada siapa berani menyalahkannya.
“Pulau Kulit! Patutlah…” Sebut salah-seorang pelayan di Kafe Pagi-Petang.
Di bilik karya itu Kayla masih seorang pemburu ilham. Kayla bukan lelaki laut.


