SSH Rawang perluas akses rawatan antarabangsa, fokus pasaran serantau

31 Jan 2026, 4:00 AM
SSH Rawang perluas akses rawatan antarabangsa, fokus pasaran serantau
SSH Rawang perluas akses rawatan antarabangsa, fokus pasaran serantau

SHAH ALAM, 31 JAN: Selgate Specialist Hospital Rawang (SSH Rawang) memperkukuh akses rawatan antarabangsa apabila menandatangani kerjasama strategik dengan Stratgeist Pte Ltd, membuka lebih banyak peluang pesakit luar negara mendapatkan rawatan berkualiti di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Dato’ Noor Hisham Mohd Ghouth, berkata inisiatif itu sebahagian daripada usaha memperluas ekosistem kesihatan Selgate serta menjadikan Selangor destinasi rawatan berkualiti di rantau ini.

“Gabungan kepakaran klinikal SSH Rawang dan kemampuan Stratgeist dalam penyelarasan pesakit antarabangsa mewujudkan laluan rawatan yang tersusun, lancar dan telus. Kerjasama ini mengangkat SSH Rawang sebagai hospital pilihan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Stratgeist, yang berpengalaman merujuk lebih 1,000 pesakit setahun ke Malaysia dan Singapura, akan mengurus aspek bukan perubatan termasuk pentadbiran, perjalanan, logistik serta sokongan rujukan bagi pesakit dari Indonesia dan negara jiran.

Fasa awal kerjasama memberi fokus kepada pasaran Indonesia sebelum diperluas ke negara lain, sejajar dengan strategi Selangor memperkukuh sektor ekonomi jagaan dan pembangunan kesihatan negeri.

SSH Rawang, yang mula beroperasi Oktober 2025, menyediakan pelbagai kepakaran termasuk ortopedik, kardiologi, kesihatan wanita dan kanak-kanak, selain perkhidmatan diagnostik moden. Hospital 224 katil itu disokong rangkaian Selgate Healthcare, merangkumi klinik primer, farmasi, makmal diagnostik dan penjagaan rumah.

Dalam ucapannya, Noor Hisham menekankan inisiatif berkenaan membantu memastikan pesakit antarabangsa mendapat pengalaman rawatan lebih teratur, merangkumi pra-kemasukan, kemasukan, discaj serta susulan pasca rawatan.

“Sokongan sistematik sebegini penting supaya pesakit luar negara bukan sahaja menerima rawatan, malah diberi jaminan pengalaman yang selamat dan meyakinkan,” katanya.

Selgate Healthcare menyasarkan pengoperasian sekurang-kurangnya enam hospital dalam tempoh sedekad bagi memperkukuh ekosistem kesihatan negeri, berlandaskan prinsip Every Life Matters.

Majlis pertukaran memorandum turut dihadiri wakil pengurusan Selgate dan Stratgeist Pte Ltd.