SHAH ALAM, 30 JAN : Pelaksanaan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 1,399 projek perumahan swasta melibatkan 167,423 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM133.78 bilion.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata daripada jumlah itu, 109 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, manakala 1,265 projek sakit disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), lapor Berita Harian.
Jelas Datuk Aiman Athirah Sabu, Selangor, Johor, Perak dan Pahang antara negeri yang mencatatkan jumlah projek perumahan sakit dan lewat yang tinggi susulan keupayaan kewangan pemaju akibat Covid-19.
"Hingga 31 Disember lalu, 161 projek perumahan swasta berstatus lewat, 349 projek berstatus sakit dan 99 projek berstatus terbengkalai direkodkan di seluruh negara dan masih berada dalam kawalan hasil pemantauan berterusan dan pelaksanaan intervensi bersasar melalui platform TFST.
"Dalam perkembangan memberangsangkan ini, jumlah projek terbengkalai menunjukkan penurunan daripada 102 projek kepada 99 projek.
"Ini sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama erat antara TFST dan pihak berkepentingan dalam memulihkan projek perumahan demi kepentingan pembeli dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Aiman Athirah berkata TFST juga menjalankan pemantauan terhadap 68 projek perumahan sepanjang 2024 dan 2025 dengan 46 projek telah siap dan dianugerahkan CCC manakala selebihnya bakal siap mengikut jadual ditetapkan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan projek Residensi Hektar Gombak di Selangor dijangka siap dan diserahkan kepada pembeli pada Mac 2027, dengan kemajuan pembinaan kini mencapai 84 peratus dan dipantau setiap tiga bulan.


