SHAH ALAM, 30 JAN: Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTREC) SIDINA kini beroperasi sepenuhnya di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu selepas dilancarkan secara rasmi semalam.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Pang Sock Tao, sebagai sebahagian usaha menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti setempat.
Menurut Sock Tao, kemudahan itu bukan sahaja membantu mengurangkan sisa, malah membuka peluang kepada penduduk menjana pendapatan sampingan.

“ADTREC memberi kemudahan kepada penduduk untuk mengitar semula dengan lebih teratur, di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.
Pada majlis sama, taklimat penggunaan mesin ADTREC dan aplikasi Trash4Cash turut disampaikan.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan inisiatif berkenaan memberi impak positif dari segi kerjasama komuniti dan kelestarian alam sekitar dalam jangka panjang.
“MPHS berharap kemudahan seperti ADTREC SIDINA dapat diperluaskan ke lebih banyak kawasan sebagai langkah proaktif ke arah pembangunan bandar yang lebih lestari,” menurut kenyataan itu.





