Rakyat Malaysia digesa ambil langkah berjaga-jaga ancaman virus Nipah di India

29 Jan 2026, 2:05 PM
Rakyat Malaysia digesa ambil langkah berjaga-jaga ancaman virus Nipah di India

NEW DELHI, 29 JAN: Rakyat Malaysia yang melancong ke India dan mereka yang menetap di negara itu digesa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan virus Nipah, menurut Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi hari ini.

Kenyataan itu menasihatkan mereka yang melawat kawasan yang mempunyai laporan kes virus Nipah supaya memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengurangkan pendedahan kepada titisan cecair serta mengelakkan kawasan sesak jika boleh.

Mereka juga diminta mengekalkan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dan mengelakkan makan buah-buahan yang tidak dibasuh atau makanan yang mungkin terdedah kepada pencemaran.

Suruhanjaya Tinggi akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan akan memberikan maklumat terkini jika perlu. Warganegara Malaysia digalakkan untuk sentiasa maklum dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang disyorkan demi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka, menurut nasihat tersebut.

Ia turut memberi amaran agar tidak bersentuhan dengan haiwan yang sakit atau individu yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, batuk, atau kesukaran bernafas.

Kementerian Kesihatan India mengesahkan dua kes Nipah di negeri bahagian timur, West Bengal. Pada Selasa, ia melaporkan bahawa wabak berkenaan berjaya dikawal.

Bagaimanapun, wabak itu mendorong pihak berkuasa di banyak negara Asia, termasuk Malaysia, untuk mengambil langkah saringan terhadap pengembara yang tiba dari India.

Jangkitan virus Nipah adalah penyakit zoonotik yang menular kepada manusia dari haiwan dan ia boleh merebak dalam kalangan orang ramai melalui makanan yang tercemar atau secara langsung melalui hubungan sesama manusia, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Virus itu boleh mengeram di dalam badan manusia biasanya dari 4 hingga 14 hari dan tiada rawatan atau vaksin yang tersedia untuk manusia mahupun haiwan.

- BERNAMA