Lebih 20 tapak sampah haram aktif di Klang dihapus tahun ini

27 Jan 2026, 9:02 AM
Lebih 20 tapak sampah haram aktif di Klang dihapus tahun ini
Lebih 20 tapak sampah haram aktif di Klang dihapus tahun ini

KLANG, 27 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengenal pasti lebih 20 lokasi tapak pembuangan sampah haram yang masih aktif dan akan dibanteras secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain, berkata seruan Dato’ Menteri Besar Selangor untuk menghapuskan tapak sampah haram dijangka memudahkan usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan tindakan secara bersepadu.

“Sampah haram merupakan tumpuan utama kita. Di Klang, ada lebih 20 lokasi sampah haram yang masih aktif. Jadi apabila Dato’ Seri Amirudin Shari mengeluarkan arahan, ia memudahkan lagi kerja kita.

“Dengan pelaksanaan tindakan secara bersepadu, boleh meringankan beban pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan. MBDK juga akan terus memantau kawasan yang berpotensi,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Program Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah Bagi Pembayar Cukai Taksiran Melalui Portal IPay MBDK di Dewan Hamzah MBDK di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abd Hamid mengakui MBDK berdepan cabaran untuk menyelesaikan tapak sampah haram secara menyeluruh berikutan memiliki banyak kawasan perindustrian dan pembangunan.

Namun katanya, MBDK berazam untuk bekerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) selain memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tumpuan sehingga aktiviti pembuangan sampah haram terkawal.

“Kawasan Klang ini sangat luas. Dengan kakitangan sedia ada, mungkin kita tidak mampu buat pemantauan secara menyeluruh. Terutamanya di kawasan terpencil seperti di tepi sungai dan sebagainya,” katanya.

Pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 semalam, Amirudin menegaskan untuk membanteras tapak pembuangan sampah haram selain mahu turun padang sendiri ke setiap lokasi terutama di kawasan titik panas.

Beliau turut memberi peringatan akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang bersekongkol selain mahu KDEBWM bekerjasama secara erat dengan semua PBT di negeri ini.