SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 137 bekas ahli Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) menyertai Seminar Lelaki Qawwam 2026: Mencintai dan Mencontohi Qudwah Rasulullah SAW anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Selayang, semalam.
MAIS dalam kenyataan memaklumkan seminar sehari dengan kerjasama Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu bertujuan memberi kesedaran dan pendedahan kepada peserta berhubung tanggungjawab dalam institusi rumah tangga.
Program tersebut turut menekankan kepentingan mencintai serta mencontohi Qudwah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan berkeluarga.
Seminar dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Sosial MAIS Dr Hajah Norraini Nordin.
Perkongsian awal disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor Ustaz Suhaimi Ahmad Wakid menerusi tajuk Tanggungjawab Suami: Nafkah, Didikan dan Kasih Sayang.
Sesi seterusnya menampilkan perbincangan bertajuk Mencintai dan Mencontohi Qudwah Rasulullah SAW oleh Profesor Madya Dr Ahmad Najaa’ Mokhtar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr Ahmad A’toa’ Mokhtar dari Universiti Islam Selangor (UIS).
Seminar itu turut menyaksikan penyampaian simbolik agihan fidyah MAIS kepada para peserta.


