SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengeluarkan 12 kompaun terhadap premis yang didapati beroperasi tanpa lesen sah menerusi Operasi Penguatkuasaan Premis Perindustrian di Jalan Air Hitam baru-baru ini.
Menurut MBDK, operasi itu melibatkan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa serta memeriksa lima premis yang menjalankan pelbagai aktiviti termasuk pemprosesan dan penyimpanan sekerap logam, kerja kejuruteraan, pengasingan pakaian terpakai, serta penyimpanan barang am.
"Hasil pemeriksaan mendapati hanya sebuah premis memiliki lesen industri dan iklan sah bagi tahun 2026, manakala selebihnya beroperasi tanpa lesen," menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan itu.
Daripada jumlah tersebut, sembilan kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Selain itu, satu kompaun dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil 7 Iklan (Majlis Perbandaran Klang) 2007, satu kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 3(1), Undang-Undang Kecil Hotel (Majlis Perbandaran Klang) 2013, manakala satu lagi kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 17, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
MBDK menegaskan pihaknya memandang serius isu operasi perniagaan dan industri tanpa lesen sah bagi memastikan semua aktiviti dijalankan mengikut undang-undang yang ditetapkan.





