SHAH ALAM, 26 JAN: Polis sedang mengesan dua individu yang terlibat dalam pergaduhan tular di hadapan sebuah stesen minyak di Taman Sungai Chua, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.16 malam semalam.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku 12.50 tengah hari semalam di mana terdapat rakaman video dua orang lelaki sedang bergaduh di kawasan awam.
"Sehingga kini, kedua-dua pihak belum membuat sebarang laporan polis dan punca sebenar kejadian sedang disiasat," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Naazron menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 atau pegawai penyiasat Sarjan Mohamad Najib Mohd Radgali di 012-3429297 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial klip video berdurasi empat minit 10 saat memaparkan perselisihan faham antara dua lelaki sebelum salah seorang daripada mereka yang tidak berbaju bertindak agresif.
Rakaman menunjukkan kedua-dua individu pada awalnya dilihat berbincang sebelum lelaki tidak berbaju mula menumbuk dan menyepak seorang lagi lelaki sehingga terbaring.
Lelaki tidak berbaju itu terus memijak mangsa walaupun individu berkenaan sudah tidak bergerak.


