Cemburu punca lelaki disimbah asid di stesen minyak

26 Jan 2026, 2:00 AM
Cemburu punca lelaki disimbah asid di stesen minyak

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang lelaki melecur pada muka, leher dan dada selepas disimbah asid di sebuah stesen minyak di Jeniang, Sungai Petani, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daserah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata anggota di Balai Polis Gurun menerima panggilan pada jam 3.15 pagi daripada seorang wanita memaklumkan mangsa berusia 36 tahun disimbah asid di lokasi kejadian.

Beliau berkata mangsa yang bekerja sebagai pekerja kantin melecur kira-kira 11 peratus akibat kejadian berkenaan.

“Polis berjaya mengesan dan menahan suspek lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan cemburu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan bahan berbahaya.

Beliau berkata suspek direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut manakala mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).