Lawan tarik diri, Pearly-Thinaah juara Masters Indonesia

25 Jan 2026, 9:06 AM
Lawan tarik diri, Pearly-Thinaah juara Masters Indonesia

SHAH ALAM, 25 JAN: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah meraih gelaran pertama mereka pada tahun ini apabila muncul juara Masters Indonesia yang diperoleh tanpa mengeluarkan sebarang peluh.

Kejayaan pada kejohanan berstatus Super 500 BWF di Istora Senayan itu diraih secara 'percuma' selepas lawan mereka di final, gandingan Jepun, Arisa Igarashi-Miyu Takahashi menarik diri sebelum aksi dijadualkan berlangsung, lapor Berita Harian.

Difahamkan, keputusan itu diambil oleh pasangan Jepun berkenaan atas faktor kecederaan, sekali gus membolehkan Pearly-Thinaah dinobatkan sebagai juara dan menebus kekecewaan pada edisi lalu.

Keputusan itu turut menjadikan Pearly-Thinaah beregu wanita kedua negara yang berjaya menawan kejohanan itu dan menamatkan penantian selama 15 tahun Malaysia bagi acara itu selepas kali terakhir ia dimenangi oleh gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada tahun 2011.

Tahun lalu, Pearly-Thinaah turut cemerlang melangkah ke perlawanan akhir Masters Indonesia namun terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas tewas kepada wakil Korea Selatan, Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 12-21, 21-17, 18-.

Sebagai rekod, sebelum ke Jakarta, mereka terkandas di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan separuh akhir pada Terbuka India, minggu lalu.