Dakwaan dera kanak-kanak: YMC beri kerjasama siasatan pihak berkuasa

25 Jan 2026, 7:55 AM
Dakwaan dera kanak-kanak: YMC beri kerjasama siasatan pihak berkuasa

SHAH ALAM, 25 JAN: Young Muslim Centre (YMC) memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan insiden di salah sebuah cawangannya yang dikaitkan dengan dakwaan penderaan kanak-kanak

Ibu pejabat YMC menerusi kenyataan memaklumkan sejurus menerima makluman tersebut, pihak pengurusan YMC turut mengambil langkah sewajarnya dengan melaksanakan tindakan dalaman selaras prosedur dan polisi sedia ada pihaknya.

“YMC telah dimaklumkan berhubung satu insiden yang berlaku di salah satu cawangan kami dan menyedari perhatian awam terhadap perkara ini.

“Keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan utama YMC dan kami memandang serius sebarang perkara yang melibatkan amanah dan tanggungjawab terhadap anak-anak di bawah jagaan kami,” katanya.

Sehubungan itu, YMC memohon semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus dan menyeluruh.

“Selain mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Kami amat menghargai kepercayaan, kesabaran dan kerjasama semua ibu bapa serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh ini,” katanya.

Sementara itu, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ketika dihubungi memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima laporan berhubung perkara itu dan akan menyerahkan perkongsian yang tular kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini tular di laman Threads mengenai perkongsian seorang individu mendakwa anaknya yang dihantar ke salah satu cawangan pusat jagaan itu dipercayai didera.