SHAH ALAM, 7 JAN: Polis menahan pasangan suami isteri susulan penemuan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dengan kesan kecederaan fizikal, petang semalam.
Kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley, Nilai.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata susulan itu, lelaki dan wanita berusia 20-an dipercayai bapa tiri dan ibu kandung mangsa ditahan jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai.
"Kejadian terbongkar jam 5.30 petang semalam apabila seorang lelaki menjumpai kanak-kanak lelaki itu dalam keadaan terbiar, ketakutan dan menggigil di luar sebuah premis kedai serbaneka di Star Valley.
"Orang awam itu bertindak membawa kanak-kanak berkenaan ke tempat selamat serta menghubungi pihak polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil tindakan pantas polis, kanak-kanak itu dibawa ke IPD Nilai dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan penjaga mangsa.
"Pemeriksaan awal mendapati terdapat unsur kecederaan disyaki akibat penderaan pada tubuh mangsa di beberapa bahagian badan. Mangsa dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut.
"Siasatan lanjut juga mendapati bahawa mangsa pernah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor, pada 2020.
"Ia susulan selepas mengalami kecederaan 'nonaccidental injury' iaitu dengan kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian kepala, bahu kanan, dada dan belakang badan," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1), Akta Kanak-Kanak 2001.
"Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan itu.
"Orang awam dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya.


