HULU LANGAT, 24 JAN: Projek 1,000 Hari Pertama Kanak-Kanak menjadi inisiatif strategik Kerajaan Selangor dalam membentuk generasi berkualiti melalui pembangunan fizikal, kognitif dan emosi kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata projek yang dijangka bermula Jun ini akan menjadi antara fokus utama program Jelajah Wanita Selangor bagi memperluas kesedaran mengenai kepentingan fasa 1,000 hari pertama kehidupan kanak-kanak.
Menurut beliau, tempoh enam tahun pertama kehidupan seorang anak berada sepenuhnya di bawah tanggungjawab ibu bapa dan merupakan fasa paling kritikal dalam pembentukan sahsiah serta perkembangan minda kanak-kanak.
“Saya kira yang paling penting adalah enam tahun pertama kehidupan seorang anak itu masih berada di bawah tanggungjawab ibu bapa. Jadi dari segi kebajikan, perkara asas dalam tahun-tahun pembentukan kanak-kanak itu sangat kritikal.
“Malah di peringkat Kerajaan Negeri khususnya dalam pembangunan keluarga, kita akan memberikan tumpuan tahun ini kepada Projek 1,000 Hari Pertama Kanak-Kanak.
“Itu adalah kebajikan yang perlu diberi tumpuan contohnya kognitif anak itu dibentuk melalui pemakanan yang sihat dan mencukupi, akhirnya menyediakan kesiapsiagaan mereka untuk masuk ke alam persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran Akademi Kepimpinan Wanita Edisi Khas Ahli Majlis di sini, hari ini.
Anfaal mengulas keputusan kerajaan membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun mengikuti kemasukan awal ke Tahun Satu bermula 2027, namun pelaksanaannya tidak diwajibkan dan bergantung kepada keputusan ibu bapa seperti yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035.
Jelas beliau, Projek 1,000 Hari Pertama Kanak-Kanak dijangka dimulakan dengan lima zon di Selangor iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sepang, Gombak dan Petaling.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan jumlah guru, sekolah dan kemudahan sedia ada mencukupi bagi menampung kemasukan murid tahun satu berusia enam tahun mulai tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementeriannya telah menjalankan kajian dan mendapati sekolah yang dikenal pasti mempunyai tenaga pengajar mencukupi bagi melaksanakan pelaksanaan tersebut.



