SHAH ALAM, 24 JAN: Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dikerahkan untuk memadam kebakaran di sebuah tapak pelupusan haram di Ijok, melibatkan puluhan tong disyaki mengandungi asid hidroklorik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.08 petang berhubung kebakaran di Jalan Ijok Batu 23, Kampung Sentosa, Kuala Selangor.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan timbunan sampah seluas kira-kira 150 kali 50 kaki persegi serta lebih 50 tong berkapasiti 200 liter yang dipercayai mengandungi asid hidroklorik.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dengan bantuan pasukan dari Selayang dan Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 2.26 petang dan operasi pemadaman masih dijalankan.
"Sebagai langkah keselamatan, pasukan Hazmat dari Rawang turut digerakkan bagi menilai risiko bahan kimia dan memastikan keselamatan anggota serta kawasan sekitar,” katanya seperti dilapor NST.
Wan Md Razali berkata seramai 14 anggota terlibat dalam operasi itu yang diketuai Komander Operasi, Mohamad Nur Hafifi Md Radzi.
Katanya, setakat ini tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, dan pihaknya akan mengeluarkan makluman lanjut selepas kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.
Asap tebal akibat kebakaran berkenaan dilaporkan dapat dilihat dari beberapa kilometer dari lokasi kejadian.


