Tragedi Misai Sazali

24 Jan 2026, 12:31 AM
Tragedi Misai Sazali

Oleh Fazleena Hishamuddin

Pagi itu, bila terjaga daripada tidur, Odah menjerit–ada bulu hitam melingkar di lengannya. Jeritan itu membuatkan Sazali tersentak lalu mencelikkan mata. Belum sempat dia bertanya, Odah sudah terpaku memandangnya. Dalam sekelip mata, kedua-duanya menjerit apabila sedar misai Sazali sudah memanjang–mencecah hingga ke lutut.

Bagai malaikat lalu, mereka saling merenung tanpa sepatah kata. Sunyi menyelubungi, hanya nafas yang kedengaran. Sepuluh minit berlalu begitu sahaja sebelum Sazali bangun, menggeledah laci di tepi katil lalu mengeluarkan sepasang gunting. Odah menarik nafas panjang berusaha menguatkan diri. Dengan tangan yang menggeletar, dia mula memotong helaian bulu hitam yang bergumpal itu–satu demi satu–jatuh ke lantai tanpa bunyi.

Selepas dipotong, misai itu tinggal separas bibir. Sazali berdiri lama di hadapan cermin, memegang dagu seperti sedang memeriksa satu kecacatan yang entah bagaimana tumbuh dalam sekelip mata. Dia memiringkan kepala, meneliti bayang sendiri¬–cuba meyakinkan diri bahawa semuanya sudah berakhir.

Odah pula menyapu sisa bulu hitam di lantai tanpa berkata apa-apa, hanya bunyi sapuan yang memecah sunyi.

Hari itu diteruskan seperti biasa–makan, bekerja, bernafas seperti selalu–walaupun kedua-duanya melangkah dengan lebih berhati-hati, seakan-akan takut misai itu masih hidup dan mampu mendengar setiap jejak mereka.

Esoknya, misai itu tumbuh semula. Lebih tebal, lebih hitam, lebih degil daripada sebelumnya. Odah menjerit. Sazali menyusul tanpa perlu dipanggil. Gunting dicapai, tangan sudah tahu apa yang harus dibuat. Misai dipotong, sisa disapu, dan pagi diteruskan dengan kebimbangan menghadapi hari esok.

Namun kejadian itu berulang setiap hari, tanpa gagal, sehingga Sazali mula takut kepada tidur. Malam-malam berikutnya, dia tidak lagi berbaring di katil. Sebaliknya, duduk melunjur di ruang tamu, ditemani lampu malap dan televisyen yang terpasang tanpa suara.

Kelopak matanya berat, kepala terangguk-angguk, tetapi setiap kali itu juga dia tersentak dan bangun semula. Misai itu, katanya dalam hati, hanya menunggu peluang–menunggu saat dia terlelap walau seketika.

Akhirnya, Sazali bercerita juga kepada Ame sahabat baiknya di pejabat. Di sebuah kedai mamak yang hingar, mereka duduk berhadapan sambil memerhati asap roti canai yang naik berlingkar-lingkar, seperti satu ritual pelik yang berulang tanpa makna. Bunyi pinggan berlaga dan suara orang berbual sekeliling seakan-akan tidak menembusi vakum antara mereka.

Ame tidak kelihatan terperanjat. Dia hanya mengangguk perlahan, bagaikan cerita itu sekadar satu lagi hal ganjil yang boleh diterima akal. Setelah berfikir seketika, dia mencadangkan seorang bomoh yang ditemuinya di TikTok. Tanpa banyak soal, Sazali mengeluarkan telefon dan menempah sesi malam itu juga, dengan perasaan antara berharap dan pasrah.

Bomoh itu muncul di skrin telefon–berkopiah putih, berjambang tanam, dan berkemeja Fred Perry. Dari hujung kamera, matanya memerhati misai Sazali dengan tenang. Ternyata apa yang menimpa Sazali bukan sesuatu yang pelik. Katanya, dia pernah melihat situasi yang jauh lebih buruk.

“Ini balasan atas sikap kau yang suka mendera isterimu,” katanya ringkas dan tepat.

Sazali menelan liur. Dadanya terasa sempit. “Saya tak pernah pukul Odah,” katanya dengan tegas hampir mempertahankan diri.

Bomoh itu tidak segera menjawab. Dia hanya mengangguk perlahan sebelum bersuara semula.

Abuse bukan semua fizikal. Kadang-kadang suara lebih tajam daripada tangan. Kau mungkin tak sedar. Tapi dia boleh rasa.”

Kata-kata itu tergantung lama di antara mereka, lebih berat daripada apa-apa jampi yang dijangka Sazali dengar malam itu.

Sazali diam. Dalam senyap, ada memori kecil yang timbul satu demi satu–sindirannya yang konon bergurau, keluhannya yang berulang, cara dia menekan Odah dengan nada yang tidak pernah dia kira sebagai salah. Perkara-perkara kecil, katanya dulu. Perkara yang cepat dilupakan. Tetapi kini, semuanya berkumpul dan menekan dadanya dari dalam.

Bomoh itu menghela nafas panjang, seolah sudah menjangka reaksi itu.

“Misai ini lambang ego yang kau kumpul,” katanya perlahan.

“Setiap kali kau merendahkan, setiap kali kau bersuara tanpa peduli, ia bertambah. Ia takkan berhenti. Ia akan tumbuh selagi Odah tak membalas balik apa yang dia telan selama ini.”

Kata-kata itu jatuh tanpa amarah, namun lebih menghiris daripada tuduhan.

Skrin gelap. Sazali hanya duduk memegang telefon lama-lama.

Keesokkan pagi, dengan apa yang diceritakan Sazali kepadanya–Odah cuba mengikut arahan bomoh itu. Dia cuba menyindir Sazali, tetapi terlepas ketawa kecil sebelum sempat ayat menghiris keluar sepenuhnya. Sindiran itu gugur di tengah jalan, kehilangan bisa sebelum sempat sampai.

Dia mencuba lagi esoknya. Kali ini lebih berhati-hati, lebih bersedia. Namun yang keluar bukan marah, sebaliknya nada kasihan yang lebih kuat daripada niat membalas. Kata-katanya lembut, hampir memujuk, seolah-olah dia masih takut untuk melukai, walaupun itulah yang diminta daripadanya.

Misai Sazali memendek sedikit, tapi malamnya tumbuh semula, panjang sampai mencecah pinggang, seakan sengaja membalas ketidak-tegasan mereka.

Selepas beberapa minggu, Sazali mengalah.

“Sudah,” katanya. “Kalau nak tumbuh, tumbuhlah.”

Odah angguk perlahan. Dia ambil sikat panjang, membahagi misai itu menjadi tiga bahagian dan mula membuat tocang. Jarinya bergerak perlahan, kemas, seolah-olah ini tugas lama yang kembali semula ke rumah.

Dia tambah beberapa manik biru di hujung tocang. Misai itu berayun-ayun perlahan mengikut hembusan nafas Sazali.

Hari-hari berikutnya mereka membiasakan diri. Misai tumbuh. Odah menyikat. Sazali duduk senyap. Rumah menjadi lebih tenang–tanpa jeritan, tanpa sindiran. Sunyi yang lembut.

Misai Sazali menjadi viral di media sosial. Ada yang minta tutorial tocang. Ada yang buat fan art. Ramai yang memuji di ruangan komen:

Lelaki bermisai estetik

Misai hasil tangan isteri

Seni tocang misai jadi trend terkini

Sazali dan Odah gembira membacanya. Misai turut terhinjut-hinjut mengikut gerakan bahu Sazali yang senang hati.

Hubungan mereka pula, entah bagaimana, menjadi lebih rapi daripada tocang misai itu sendiri. Sazali semakin lembut. Odah semakin berani bersuara. Ada ruang baharu terbuka dalam diam.

Pagi-pagi berikutnya, Odah buat corak tocang yang berbeza. Manik berlainan warna. Hidup mereka kini lebih berseri. Misai menjadi priority yang mengikat dua hati.

Dan seperti misai itu–cinta antara mereka pun mula tumbuh perlahan-lahan.