SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) bersedia menambah tenaga pengajar bagi menghadapi kemungkinan pertambahan murid tahun satu tahun depan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata permintaan juga datang daripada institusi seperti Maahad Tahfiz untuk penempatan guru bagi persiapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Guru-guru perlu disiap-siagakan melalui IPG bagi menghadapi kemungkinan pertambahan murid tahun satu tahun hadapan, susulan kemasukan murid berusia enam dan tujuh tahun secara serentak.
“Kita ingin pastikan jumlah guru bukan sahaja tahun satu, kerana terdapat permintaan dari maahad tahfiz supaya pelajar-pelajar mereka yang berada di tingkatan lima, ingin menduduki SPM khusus dalam mata pelajaran bahasa melayu dan sejarah mempunyai tenaga mengajar mencukupi,” katanya.
Bercakap pada sidang media mingguan, Fahmi berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Kementerian Pendidikan memfokuskan persiapan menerima murid prasekolah berusia 5 tahun dan murid tahun satu berusia 6 tahun.
Tambahnya, Anwar juga mengarahkan Kementerian Kewangan (MOF) mempercepat pelaksanaan persiapan itu secara tersusun dan teratur.
“MOF diminta untuk meneliti proses bagi mempercepat mengikut tata cara yang rapi tapi juga bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kerja Raya khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Ini kerana untuk menyiapkan bilik-bilik darjah yang baru menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) perlukan kerjasama yang baik dengan pihak JKR,” jelasnya.
Pada Selasa, Anwar mengumumkan pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, sementara tahun satu pula bermula pada usia enam tahun bermula pada tahun depan.
Perdana menteri menjelaskan perubahan tersebut masih belum diwajibkan kepada ibu bapa, bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan, khususnya warga pendidik.


