SHAH ALAM, 3 MAC: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun boleh dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usul berkenaan boleh dikemukakan semula termasuk dalam dua lagi mesyuarat Parlimen tahun ini iaitu sekitar Jun dan Oktober.
“Kita boleh bawa balik (usul) bila-bila masa dalam sidang Parlimen. Kita masih ada dua lagi mesyuarat tahun ini, sekitar Jun dan Oktober, dan kita boleh bawa semula,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya hari ini.
NSRC yang beroperasi di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata usul berkenaan tidak mempunyai implikasi terhadap kedudukan kerajaan mahupun Perdana Menteri secara peribadi.
Tegasnya, pindaan Perlembagaan tersebut perlu dilihat sebagai usaha reformasi institusi untuk memperkukuh tadbir urus dan prinsip akauntabiliti, bukannya isu politik kepartian.
“Meletakkan hak dan sekatan kepada tempoh perkhidmatan Perdana Menteri memastikan bahawa ada prinsip akauntabiliti.
"Takkan prinsip akauntabiliti ini tak penting? Kepada semua ahli parlimen. Jadi saya percaya sepatutnya semua ahli parlimen menyokong,” katanya.
Semalam, RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan itu selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
“Yang tidak hadir 32, yang tidak mengundi 44, yang bersetuju 146. Oleh yang demikian, jadi keputusannya adalah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya ketika mengumumkan keputusan undian di Dewan Rakyat.








