Selangor tidak kompromi isu rasuah, integriti keutamaan

23 Jan 2026, 3:19 AM
Selangor tidak kompromi isu rasuah, integriti keutamaan
Selangor tidak kompromi isu rasuah, integriti keutamaan
Selangor tidak kompromi isu rasuah, integriti keutamaan

SHAH ALAM, 23 JAN: Kerajaan Negeri kekal dengan prinsip tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah dalam pentadbiran, tegas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, prinsip integriti dan ketelusan terus menjadi teras utama pentadbiran negeri bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berakauntabiliti demi kepentingan rakyat.

“Prinsip Kerajaan Negeri adalah jelas dan tidak berkompromi. Selangor kekal berintegriti, telus dan bersih dalam menjalankan amanah. Ini demi kepentingan rakyat dan masa depan Selangor,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Azwan Ramli.

Beliau menganggap pertemuan itu menjadi wadah penting dalam usaha memperkukuh strategik bersama SPRM terutama membabitkan amalan tadbir urus, ketelusan serta integriti perkhidmatan awam.

Pada Februari tahun lalu, Amirudin mengetuai barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai iltizam membanteras gejala itu dalam pentadbiran.

Pelaksanaan inisiatif itu turut menunjukkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam membina budaya kerja beretika dan telus, sekali gus melonjakkan imej Selangor sebagai negeri maju berdaya tahan.