Bekas PTD akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini

23 Jan 2026, 12:30 AM
Bekas PTD akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini

SHAH ALAM, 23 JAN: Bekas Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan akan didakwa sekali lagi, kali ini di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, berhubung kes pengubahan wang haram.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Muhammad Hafizuddeain dijangka disebut di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin pada 9 pagi.

Semalam, Muhammad Hafizuddeain, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.12 juta.

Muhammad Hafizuddeain bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Rabu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan Muhammad Hafizuddeain dan isterinya Salwani Anuar @ Kamaruddin, masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur.

Menurut SPRM bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu turut akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat, manakala isterinya akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu Isnin depan.

Menerusi Ops Parasit, SPRM pada 7 Januari lalu menahan seorang pegawai tinggi bersama dua isterinya berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat dan keesokan harinya pegawai itu direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman tiga dan enam hari.

Siasatan SPRM berkaitan kes itu bermula sejak 7 Oktober 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

Pada 23 Disember 2025, sepasukan pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan untuk memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek membabitkan Tentera Darat sejak 2023.

Sementara itu, Khamis lalu, media melaporkan 23 individu termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM ditahan SPRM, bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam selain dakwaan menerima rasuah daripada beberapa syarikat berkaitan perolehan pembekalan di Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) dan Kementerian Pertahanan.

- BERNAMA