Cuti gantian 1 Februari: Penjawat awam sehari, swasta dua hari

22 Jan 2026, 9:14 AM
Cuti gantian 1 Februari: Penjawat awam sehari, swasta dua hari

KUALA LUMPUR: Penjawat awam di Wilayah Persekutuan hanya akan menikmati satu hari cuti gantian, manakala pekerja sektor swasta layak menerima dua hari cuti susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam pada 1 Februari ini.

Pertindihan kedua-dua sambutan yang jatuh pada hari Ahad menyaksikan penjawat awam diberikan hari kelepasan am gantian pada 2 Februari, manakala pekerja sektor swasta menikmati cuti sehingga 3 Februari.

Penetapan itu berdasarkan kenyataan berasingan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), masing-masing pada 8 Januari lalu dan Disember 2025, yang masih terpakai setakat ini.

Menurut JPA, penetapan berkenaan selaras Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369), yang memperuntukkan bahawa sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari berikutnya hendaklah dijadikan hari kelepasan am.

“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah Persekutuan serta Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, pegawai hanya akan menikmati tundaan hari kelepasan am pada hari berikutnya, iaitu 2 Februari 2026.

“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Labuan pula, tundaan hari kelepasan am bagi Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari 2026 juga adalah pada 2 Februari,” menurut kenyataan itu.

JPA turut menegaskan bahawa penetapan cuti gantian seperti dinyatakan dalam siaran media JTKSM adalah tidak terpakai kepada penjawat awam.

“Penetapan cuti gantian akibat pertindihan hari kelepasan am sebagaimana dinyatakan dalam siaran media ‘Cuti Umum Sempena Perayaan Thaipusam dan Hari Wilayah Bagi Pekerja Swasta Pada 1 Februari 2026’ yang dikeluarkan oleh JTKSM pada Disember 2025, adalah tidak terpakai kepada pegawai perkhidmatan awam,” katanya.

Sementara itu, JTKSM memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari kelepasan am pada 1 Februari 2026.

Menurut jabatan itu, cuti Hari Wilayah Persekutuan wajib diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, selaras Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh diganti.