SHAH ALAM, 22 JAN: Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus, mencerminkan pendirian dasar monetari yang kekal menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
Bank pusat itu berkata, keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), yang menilai bahawa tahap OPR semasa, yang kekal sejak Julai 2025, adalah wajar bagi memastikan kestabilan makroekonomi sambil menyokong momentum pertumbuhan domestik.
BNM dalam kenyataan berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran dengan momentum pertumbuhan itu diramal berterusan pada 2026.
Keadaan itu, katanya disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, termasuk guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah dasar berkaitan pendapatan yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
"Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu yang berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
"Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
"Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebihperlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, BNM berkata potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
Ia berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 2.0 peratus pada 2025.
"Bagi 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda. Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal," katanya.



