TAMAN SENTOSA, 22 JAN: Rondaan cegah jenayah Pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki disyaki memiliki dadah jenis syabu di sini, petang semalam.
Suspek berusia 18 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan lanjut menemui 10 peket plastik lutsinar mengandungi bahan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan kira-kira 14 gram.
Suspek yang ditahan bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Klang Selatan bagi siasatan serta tindakan lanjut.
Polis Daerah Klang Selatan memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Orang ramai dinasihatkan agar menjauhi penyalahgunaan dadah dan salurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu pihak berkuasa mengekalkan keselamatan serta ketenteraman awam," katanya.


