Pakar bantah ujian saringan murid Tahun Satu, dakwa diskriminasi kanak-kanak

22 Jan 2026, 6:00 AM
Pakar bantah ujian saringan murid Tahun Satu, dakwa diskriminasi kanak-kanak

SHAH ALAM, 22 JAN: Cadangan melaksanakan ujian diagnostik atau saringan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu disifatkan bercanggah dengan prinsip asas pendidikan awam dan keadilan akses pendidikan.

Pakar pendidikan Dr Anuar Ahmad berkata, ujian diagnostik tidak seharusnya digunakan sebagai alat pemilihan atau penapisan kemasukan murid ke sekolah, sebaliknya bertujuan mengenal pasti keperluan pembelajaran kanak-kanak.

“Ujian diagnostik hanya digunakan bertujuan mengenal pasti keperluan murid, bukan bertujuan mendiskriminasikan murid.

“Malah istilah ujian diagnostik adalah tidak tepat untuk situasi ini,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, cadangan berkenaan sebenarnya bersifat ujian kelayakan yang menapis dan mengasingkan kanak-kanak, sekali gus bercanggah dengan prinsip pendidikan awam yang sepatutnya bersifat inklusif.

Anuar yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mempersoalkan rasional menilai kanak-kanak seawal usia lima tahun bagi menentukan kemasukan ke Tahun Satu, sedangkan mereka masih belum melalui pendidikan formal.

“Mana mungkin anak-anak yang baru berumur lima tahun diberikan ujian kelayakan untuk menentukan mereka boleh masuk Tahun Satu atau tidak?” katanya.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Mengulas penilaian berasaskan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), beliau berkata pendekatan itu tidak wajar kerana kanak-kanak terbabit masih belum memasuki sistem pendidikan formal.

Beliau juga menolak penilaian berasaskan kestabilan emosi dan keupayaan kognitif, sambil menegaskan tiada teori perkembangan kanak-kanak yang menyokong pengukuran kestabilan emosi secara muktamad bagi kanak-kanak berusia lima tahun.

“Tidak ada teori perkembangan kanak-kanak yang boleh mengesahkan anak-anak lima tahun mempunyai kestabilan emosi,” jelasnya.

Pada masa sama, Anuar berkata perkembangan kognitif kanak-kanak pada usia tersebut masih berada pada peringkat awal dan sangat dipengaruhi faktor sosioekonomi, latar belakang pendidikan ibu bapa serta kemudahan pembelajaran di rumah.

“Tentulah ujian kelayakan seperti ini akan memberi banyak kelebihan kepada kanak-kanak dari latar sosioekonomi tinggi. Apa jadi kepada anak-anak dari keluarga yang sangat miskin?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelaksanaan ujian sedemikian adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip pendidikan awam yang wajib bersifat inklusif, bukannya eksklusif.

“Menafikan hak kanak-kanak umur enam tahun masuk sekolah di saat sebahagian kanak-kanak yang lain dibenarkan masuk adalah bercanggah dengan prinsip keadilan pendidikan, sifat kemanusiaan dan aspirasi falsafah pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menyifatkan cadangan tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap prinsip keadilan akses pendidikan serta usaha merapatkan jurang pendidikan, selain menafikan hak asasi pendidikan asas kanak-kanak.

Semalam, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, hanya kanak-kanak yang lulus ujian saringan diagnostik khas akan layak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Menurut beliau, kemasukan itu hanya melibatkan murid yang memenuhi kriteria ditetapkan selepas menduduki ujian berkenaan.

Katanya, ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak mereka terlebih dahulu bagi menduduki ujian saringan diagnostik itu, yang akan diumumkan pelaksanaannya tahun ini.