LZS hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Kuala Kubu Bharu

22 Jan 2026, 4:14 AM
LZS hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Kuala Kubu Bharu
LZS hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Kuala Kubu Bharu
LZS hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Kuala Kubu Bharu
LZS hulur bantuan kepada mangsa kebakaran Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 22 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan awal kepada tiga keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 9.30 malam pada 17 Januari itu melibatkan empat rumah teres satu tingkat, dengan tiga daripadanya hampir musnah sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

LZS menerusi kenyataan di Facebook berkata, bantuan segera disalurkan kepada tiga keluarga terjejas melalui Operasi Agihan Daerah Hulu Selangor sebagai langkah meringankan beban mereka.

“Alhamdulillah, tiga keluarga Muslim telah menerima sumbangan awal daripada LZS melalui Operasi Agihan Daerah Hulu Selangor, sebagai bantuan segera meringankan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Agensi itu turut menyatakan keprihatinan terhadap situasi yang berlaku, lebih-lebih lagi ketika sesi persekolahan baru sahaja bermula dan Ramadan kian menjelang.

“Ujian ini amat dirasai, lebih-lebih lagi ketika sesi persekolahan baru sahaja bermula dan Ramadan bakal menjelang, menjadikan kehilangan keperluan asas dan kelengkapan anak-anak satu beban yang berat,” tambah kenyataan tersebut.

Susulan kebakaran itu, semua mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membolehkan bantuan asas diselaras serta urusan pembaharuan dokumen penting dijalankan.