KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddeain Jantan bersama isterinya, Salwani Anuar akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur hari ini berhubung kes pengubahan wang haram.
BH melaporkan kedua-dua mereka masing-masing akan berdepan empat pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 58 tahun itu akan menghadapi dua lagi pertuduhan mengikut seksyen dan akta sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor, esok.
Sementara itu, Salwani pula akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan mengikut seksyen dan akta sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin ini.
Pada 7 Januari lalu, Hafizuddeain bersama dua isterinya telah ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berkaitan projek perolehan tender Tentera Darat.
Keesokan harinya, Hafizuddeain direman selama tujuh hari manakala dua isterinya masing-masing direman selama tiga dan enam hari bagi membantu siasatan lanjut.
Pada sidang media 15 Januari lalu, SPRM menyita barangan bernilai kira-kira RM11.4 juta daripada dua kediaman milik bekas PTD itu termasuk sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata rampasan turut dijalankan di sebuah kediaman di Besut, Terengganu, hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap bekas pegawai tertinggi angkatan tentera itu.
Menurut beliau, sebanyak 75 akaun syarikat yang dianggarkan bernilai RM32.5 juta dalam kes berkenaan turut dibekukan oleh SPRM.


