SPRM sita aset RM11.4 juta milik bekas PTD, beku 75 akaun

15 Jan 2026, 7:35 AM
SPRM sita aset RM11.4 juta milik bekas PTD, beku 75 akaun

SHAH ALAM, 15 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita barangan bernilai kira-kira RM11.4 juta daripada dua kediaman milik bekas Panglima Tentera Darat (PTD), termasuk sebuah rumah rahsia di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata rampasan turut dijalankan di sebuah kediaman di Besut, Terengganu, hasil siasatan yang sedang dijalankan terhadap bekas pegawai tertinggi angkatan tentera itu.

Menurut beliau, sebanyak 75 akaun syarikat yang dianggarkan bernilai RM32.5 juta dalam kes berkenaan turut dibekukan oleh SPRM.

“Turut disita barang kemas bernilai RM294,039.90; dua bentuk cincin berlian (RM20,000), jongkong emas seberat 3.7 kilogram (RM2.5 juta), medalion emas seberat 150 gram bernilai RM102,000 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram (RM5,780),” katanya seperti dilapor BH.

Beliau menambah, SPRM juga merampas sejumlah besar aset lain termasuk wang tunai, kenderaan mewah dan koleksi jam tangan bernilai tinggi.

“SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM4.4 juta, mata wang asing bernilai RM1.4 juta, sebuah kenderaan jenis Range Rover SVR bernilai RM360,000 serta 26 unit jam tangan bernilai RM2.3 juta,” katanya.