Koperal polis maut kemalangan, pemandu kereta larikan diri

21 Jan 2026, 2:33 PM
Koperal polis maut kemalangan, pemandu kereta larikan diri

SHAH ALAM, 21 JAN: Seorang anggota polis berpangkat Koperal maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tiger Lane, Ipoh, hari ini.

Mangsa, Koperal Mohd Hafizan Othman, 33, bertugas di Balai Polis Kampung Rapat, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta terbabit pula bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi nahas, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kemalangan melibatkan motosikal Yamaha Y16ZR dan Perodua Myvi itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika Perodua Myvi keluar dari simpang sebelum memasuki laluan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Anggota terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan berhampiran lokasi kemalangan,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang menetap di Laluan Perpaduan Selatan, Taman Malar, ketika itu dalam perjalanan ke Balai Polis Kampung Rapat bagi memulakan tugasan rasmi dari jam 4 petang hingga 11 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan pemandu terlibat.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia tiga tahun.