SHAH ALAM, 20 JAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengesahkan tiada gas toksik atau bahan kimia berbahaya dikesan di lokasi kebakaran di Kawasan Perindustrian Olak Lempit, Banting, hasil pemantauan kualiti udara di lokasi.
Menurut JAS, pemantauan dilaksanakan dari 15 hingga 17 Januari lalu berhampiran premis yang terlibat dalam kebakaran membabitkan empat kilang.
“Hasil pemantauan mendapati tiada gas toksik atau kimia berbahaya dikesan menggunakan Multigas Detector (Dräger) serta Portable Multigas Analyser CEREX Shepherd FTIR,” menurut kenyataan di Facebook rasmi agensi itu.
Bagaimanapun, pencemaran bau masih dikesan di kawasan sekitar dan berpotensi menyebabkan gangguan bau kepada golongan sensitif bergantung kepada arah dan kelajuan angin.
JAS turut memaklumkan kerja pembersihan masih giat dijalankan oleh pihak syarikat di lokasi kebakaran.
Sebagai langkah berjaga-jaga, warga emas dan kanak-kanak dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti luar berhampiran kawasan kejadian.
Orang awam yang ingin membuat aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi JAS menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau menghantar laporan melalui e-aduan ke alamat eaduan@doe.gov.my
Bagi aduan berkaitan pembakaran terbuka, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau 1-800-88-994 dan juga melalui SMS di 03-88880964.
Insiden kebakaran pada 15 Januari lalu melibatkan empat kilang di Jalan 5, Kampung Olak Lempit dan menyebabkan dua daripadanya musnah sepenuhnya.
Polis mengesahkan tiga mayat rentung ditemui kira-kira jam 11 pagi hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan bomba selepas kebakaran dilaporkan berlaku sekitar jam 10.05 malam.





