SHAH ALAM, 20 JAN: Kerajaan akan melaksanakan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat mulai tahun ini melibatkan empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pula akan diperkenalkan bermula 2027 melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Kedua-dua pengukuran ini akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan. Ia juga dikenali sebagai Matriks Pembelajaran Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 di Putrajaya, hari ini, lapor Berita Harian.
Anwar berkata pelaksanaan pengukuran berkenaan bertujuan menilai tahap penguasaan pembelajaran murid secara lebih menyeluruh dan berstruktur, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kualiti sistem pendidikan negara.


