SHAH ALAM, 20 JAN: Jabatan Perikanan (DOF) Selangor merampas empat peralatan menangkap ikan jenis belat dalam operasi pemantauan di pesisir pantai Kuala Langat semalam.
Operasi yang dijalankan Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan itu meliputi kawasan dari Batu Laut hingga Pantai Morib. Semua peralatan dirampas kerana digunakan tanpa lesen sah.
“Ukuran belat terbabit sepanjang 50 hingga 200 meter. Penggunaan peralatan tanpa lesen adalah dilarang kerana boleh menjejaskan ekosistem dan kelestarian sumber perikanan negara,” menurut kenyataan itu, lapor Harian Metro.
Kegiatan tanpa kebenaran tersebut bukan sahaja mengancam hidupan laut, malah menjejaskan pendapatan nelayan tempatan yang mematuhi undang-undang.
Rampasan dilakukan mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan berkenaan.
“Pihak kami akan terus memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara sah demi menjamin masa depan sumber laut negara,” katanya lagi.
DOF Selangor turut mengingatkan komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi peraturan demi kelangsungan industri perikanan.



