SHAH ALAM, 20 JAN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun diselamatkan bomba selepas sebuah unit apartmen di tingkat tiga Pangsapuri Sri Pulai terbakar pagi ini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, panggilan kecemasan diterima pada 6.59 pagi dan pasukan bomba tiba hanya 10 minit kemudian, lapor Berita Harian.
Lapan anggota daripada Balai Bomba Puchong dan Cyberjaya dikerahkan bagi mengawal kebakaran.
"Sebaik tiba, api telah memusnahkan 80 peratus unit apartmen di tingkat tiga," katanya.
Remaja terbabit ditemui di biliknya dan diselamatkan dengan selamat, manakala operasi pemadaman dilakukan segera.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.33 pagi, mengelakkan penyebaran ke unit lain.


