SHAH ALAM, 19 JAN: Dua mangsa yang rentung dalam kemalangan di Plaza Tol Jitra, arah utara awal pagi tadi sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Pang Seng Ching, 20, pemandu kenderaan dan Tan Hui Shan, 19, dipercayai pasangan kekasih.
Beliau berkata, insiden berlaku kira-kira jam 1.15 pagi apabila Honda Civic dipandu mangsa hilang kawalan sebaik tiba di plaza tol sebelum merempuh pembahagi lorong, terbalik dan terbakar.
“Kedua-dua mangsa disahkan maut di lokasi kejadian akibat rentung dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Radzi, Pang Seng Ching bekerja sebagai peniaga dan beralamat di Jalan Padang Telela Pauh, Arau, Perlis manakala Tan Hui Shan berasal dari Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang dan tidak bekerja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau berbahaya.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran kenderaan itu pada jam 1.05 pagi.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kereta tersebut terbakar dan kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di dalam kenderaan.


