Tambang Rapid On-Demand RM2 bermula 1 Februari

19 Jan 2026, 8:24 AM
Tambang Rapid On-Demand RM2 bermula 1 Februari

SHAH ALAM, 19 JAN: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menetapkan tambang RM2 bagi setiap perjalanan Rapid On-Demand (ROD) berkuat kuasa 1 Februari ini.

Sehubungan itu, Ketua Strategi dan Perancangan Prasarana Malaysia, Sharul Azwa Abd Rani berkata tempoh tambang promosi serendah RM1 yang diperkenalkan sejak Fasa Bukti Konsep (POC) pada 2023 akan berakhir pada 31 Januari.

“Selaras dengan penyelarasan ini, pemegang pas My50, Rapid Kota, Rapid Kembara dan Rapid Keluarga juga perlu membayar tambang bagi setiap perjalanan mereka.

“Berbeza dengan perkhidmatan tren dan bas henti-henti yang beroperasi mengikut jadual serta laluan tetap, ROD adalah perkhidmatan bersifat unik, dengan zon perkhidmatan lebih dinamik dan hentian maya yang boleh disediakan mengikut keperluan operasi.

“Kadar operasi sebenar ini penting bagi menyokong kesinambungan perkhidmatan serta penambahbaikan berterusan kepada pengalaman pengguna,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai perkembangan terkini perkhidmatan ROD di Menara Prasarana, Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Ku Jamil Zakaria; Ketua Unit Usahasama Strategik dan Pembangunan Infrastruktur Rapid Bus, Khairil Khalid; serta Pengurus Unit Usahasama Strategik dan Pembangunan Infrastruktur Rapid Bus, Zarul Hidayat.

Dalam pada itu, Sharul Azwa berkata Prasarana merancang menambah 300 van ROD secara berperingkat bermula akhir 2027 hingga 2028 bagi memperluas liputan perkhidmatan.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 301 van ROD beroperasi di 82 zon perkhidmatan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Perkhidmatan ini membantu menghubungkan komuniti setempat dengan rangkaian rel dan bas sedia ada, khususnya di kawasan yang tidak diliputi laluan bas tetap atau mempunyai permintaan perjalanan yang bersasar,” katanya.