Pempengaruh media sosial perlu isytihar semua pendapatan termasuk hadiah

19 Jan 2026, 7:08 AM
Pempengaruh media sosial perlu isytihar semua pendapatan termasuk hadiah

KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial atau digital perlu mengisytiharkan semua pendapatan termasuk barangan percuma, hadiah atau manfaat yang diterima bagi tujuan penilaian dan promosi produk (review) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu antara ketetapan dalam garis panduan baharu dikeluarkan LHDN berhubung layanan cukai terhadap pendapatan pempengaruh media sosial atau digital, bagi memastikan pematuhan undang-undang cukai secara lebih jelas dan teratur.

LHDN memaklumkan, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) untuk menerbit, meminda atau membatalkan garis panduan tersebut pada bila-bila masa sekiranya perlu.

Menurutnya, pempengaruh media sosial atau digital merujuk kepada individu yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang lain melalui media sosial atau platform digital berasaskan kuasa, pengetahuan, kedudukan atau hubungan dengan pengguna.

“Pempengaruh media sosial bukan saja individu yang boleh mempengaruhi orang lain dan mempunyai ramai pengikut, mereka juga mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui aktiviti sebagai pempengaruh di media sosial dan digital.

“Pempengaruh media sosial wajar diiktiraf sebagai satu kerjaya kerana ia mampu menjana pendapatan yang terbit dan diterima daripada platform media sosial atau daripada aktiviti pemasaran hasil daripada pengaruh mereka di media sosial.

“Aktiviti seorang pempengaruh termasuk menghasilkan kandungan audio, video atau penulisan, muncul dalam program atau acara media sosial, terbabit dalam promosi produk dan menerima bayaran, hadiah atau sebarang manfaat daripada mana-mana pihak disebabkan keterlibatan di media sosial,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

LHDN turut memaklumkan pempengaruh terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu pempengaruh individu dan pempengaruh berasaskan objek.

Menurutnya, pempengaruh individu merangkumi ahli politik, artis, ahli sukan, golongan profesional, pelajar dan suri rumah, manakala pempengaruh berasaskan objek pula melibatkan watak animasi, watak lakonan atau watak rekaan yang didaftarkan di platform media sosial serta mempunyai pengikut.

Mengulas mengenai pendapatan pempengaruh media sosial, LHDN menjelaskan ia merangkumi bayaran langsung daripada platform media sosial, bayaran sebagai duta produk, hasil jualan barangan, jualan akaun atau ID pempengaruh, royalti watak media sosial serta lain-lain penerimaan hasil.

Katanya, bayaran boleh diterima dalam pelbagai bentuk termasuk fi pengurusan, yuran bakat, yuran peserta dan bayaran khidmat rundingan.

“Bayaran ini boleh diterima dalam bentuk bayaran tunai, pemberian barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji) dan hadiah (gift) atau penghargaan di media sosial yang mempunyai nilai wang.

“Daripada perbelanjaan yang dibenarkan pula, pempengaruh media sosial boleh menuntut perbelanjaan yang dibenarkan di bawah Seksyen 33 Akta Cukai Pendapatan (ACP) termasuk kos internet, penggambaran dan penyuntingan bahan, manakala perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal tidak dibenarkan," katanya.

Sementara itu, LHDN memaklumkan pempengaruh media sosial diwajibkan menyimpan rekod penerimaan pendapatan serta dokumen sokongan berkaitan semua pendapatan dan perbelanjaan bagi tujuan pengauditan.

Menurutnya, semua rekod dan dokumen sokongan berkenaan perlu disimpan selama tujuh tahun bermula dari akhir tahun borang nyata cukai pendapatan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.