Agong kecewa rasuah dalam ATM, titah SPRM bertindak tanpa pilih kasih

19 Jan 2026, 5:00 AM
Agong kecewa rasuah dalam ATM, titah SPRM bertindak tanpa pilih kasih
Agong kecewa rasuah dalam ATM, titah SPRM bertindak tanpa pilih kasih
Agong kecewa rasuah dalam ATM, titah SPRM bertindak tanpa pilih kasih

SHAH ALAM, 19 JAN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan terhadap kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terutama melibatkan pimpinan tertinggi.

Titah Baginda, penemuan kes itu hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan amalan rasuah yang sedang berlaku dan perlu ditangani segera.

"Saya pernah sebut dahulu datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya telah berjaya jumpa. Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM sampai ke peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya perlu melantik sarjan menjadi PAT (Panglima Angkatan Tentera).

"Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau 'the tip of the iceberg' dan yakin ramai lagi di luar di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia termasuk dalam Dewan ini akan terus diburu sampai jumpa.

"Amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dan rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah. Bukan sahaja penerima yang patut disiasat, tetapi pemberi rasuah dan ejen yang bersubahat juga mesti dikenakan tindakan.

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti jalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan," titah Baginda ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Mesyuarat Pertama Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Baginda mahu kerajaan menyediakan hakim berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.

"Kepada Yang Berhormat dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.

"Jika menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara," titah Baginda.