SHAH ALAM, 15 SEPT: Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bakal mengembalikan kegemilangan Stadium Shah Alam, sekali gus menjadi ikon baharu Selangor yang menyatukan rakyat melalui inovasi dan sukan.
Bukan sekadar melibatkan pembinaan infrastruktur moden, pembangunan semula itu turut melambangkan perpaduan dan semangat patriotisme rakyat negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, kompleks sukan itu memiliki ciri hibrid yang boleh disesuaikan dengan pelbagai aktiviti lain seperti konsert dan keramaian, termasuk upacara perkahwinan.
Jelasnya, pembangunan semula itu juga mengambil iktibar cabaran dan dilema Stadium Nasional Bukit Jalil yang berdepan kerosakan padang selepas penganjuran konsert berskala besar.
"Jadi, kita bina stadium hibrid, dengan padang boleh dikeluarkan, diuruskan dan diselanggara. Tapaknya juga boleh digunakan untuk sukan seperti bola pikel, tenis, bola tampar serta badminton.

“KSSA bukan hanya untuk bola sepak sahaja tetapi penyatuan rakyat menyokong pasukan Selangor yang akan membentuk nilai patriotisme kukuh dalam kalangan rakyat melalui aktiviti sukan,” katanya.
Dalam wawancara khas bersama Media Selangor, Amirudin menambah KSSA bakal memacu industri sukan dan gaya hidup sihat, selaras peranan Selangor sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA).
“Selangor yang mempunyai populasi besar, negeri yang mempunyai sejarah bola sepak yang tinggi, jadi kita tidak boleh melihat setiap pelaburan itu dalam bentuk dolar dan sen.
"Nilai perpaduan begitu cantik apabila kita melihat sokongan kepada Red Giants dan SUKMA (akan datang). Jadi, saya yakin ia dapat dikembangkan sebagai industri dan gaya hidup sihat," katanya.
KSSA yang meliputi gelanggang baharu Selangor FC dan kawasan rekreasi bagi orang awam dibina dengan kapasiti 30,000 hingga 40,000 tempat duduk untuk menampung penonton dalam satu-satu masa.
Stadium ikonik yang merupakan rumah kepada pasukan The Red Giants itu mula dirobohkan pada awal Julai tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembangunan semula KSSA.
Kompleks sukan yang baharu nanti akan mengandungi pelbagai kemudahan termasuk hotel, bangunan teater tertutup dan ruang niaga yang bersambung dengan Transit Aliran Ringan (LRT).
