SHAH ALAM, 18 JAN: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan menjalankan kerja penurapan jalan di Laluan FT001 Jalan Kuala Lumpur–Tanjung Malim, Seksyen 435 berhampiran Balai Raya Batu 30, Hulu Selangor selama dua hari bermula esok.
Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Selangor, kerja pembaikan itu dilaksanakan sebagai penutupan Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period) bagi memastikan permukaan jalan berada dalam keadaan selamat dan memuaskan untuk pengguna.
Kerja penurapan akan dilakukan esok dan Selasa dari jam 10 malam hingga 6 pagi.
“Kerja-kerja penurapan hanya membabitkan lorong susur dan tidak melibatkan penutupan sepenuhnya laluan utama,” kata kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi agensi itu.
Pengguna jalan raya dari arah Serendah masih boleh menggunakan laluan berkenaan kerana kawalan trafik akan dilaksanakan oleh petugas bendera.
“Pengurusan trafik dilakukan secara stop and go sepanjang tempoh kerja pembaikan berlangsung,” jelas kenyataan tersebut lagi.
Pengguna dinasihatkan mematuhi papan tanda serta arahan keselamatan yang disediakan.
JKR Hulu Selangor turut menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melalui kawasan terbabit sepanjang tempoh kerja dijalankan.


