Khidmat guaman percuma DUN Kota Kemuning bantu rakyat tangani isu undang-undang

17 Jan 2026, 1:29 PM
Khidmat guaman percuma DUN Kota Kemuning bantu rakyat tangani isu undang-undang

SHAH ALAM, 17 JAN: Penduduk Kota Kemuning digalakkan memanfaatkan perkhidmatan khidmat guaman asas yang ditawarkan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning, khusus bagi mereka yang memerlukan nasihat dan panduan awal berkaitan isu perundangan.

Wakil rakyatnya, Preakas Sampunathan berkata inisiatif itu bertujuan memastikan akses kepada maklumat perundangan tidak terhad, terutama kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang sering berdepan kekangan mendapatkan khidmat guaman.

"Perkhidmatan ini ditawarkan melalui sistem temu janji sahaja bagi memastikan urusan dapat dijalankan secara teratur, berfokus dan memberi manfaat maksimum kepada setiap pemohon.

“Bantuan khidmat guaman ini diwujudkan untuk membantu rakyat mendapatkan nasihat awal berkaitan isu undang-undang,” ujarnya menerusi perkongsian di Facebook.

Katanya, orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau mendaftar secara dalam talian melalui pautan yang disediakan.

"Jangan biarkan isu-isu legal membebankan anda. Datang dan dapatkan nasihat daripada peguam.

"Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi 03-5131 4354 atau 011-1257-5460," kongsinya.