SHAH ALAM, 17 JAN: Kerajaan Selangor menegaskan tidak menyediakan dana bagi pelaksanaan projek penternakan babi, sebaliknya hanya berperanan pemudah cara dari aspek dasar serta kawal selia.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata peranan negeri terhad kepada pelaksanaan dasar yang diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), manakala Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) tidak pernah meluluskan peruntukan kewangan bagi aktiviti penternakan babi.
“Semua peruntukan adalah melalui pihak swasta. Kerajaan Negeri hanya bertindak sebagai pemudah cara dengan mempertemukan pihak berkepentingan, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mempercepatkan proses berkaitan aktiviti penternakan.
“Pelaksanaan projek melibatkan rundingan antara penternak, pelabur dan pemilik tanah bagi mencari model yang sesuai untuk tujuan komersial.
“Apabila ia melibatkan aktiviti komersial, sudah tentu ada untung dan rugi. Namun, semua pihak wajib mematuhi syarat yang ditetapkan dan setiap penternakan tidak boleh mengganggu penduduk setempat sehingga menyebabkan pencemaran,” katanya.
Beliau bercakap ketika menjadi tetamu podcast Jangan Pajak Otak yang dikendalikan oleh aktivis Liyana Marzuki, malam tadi.
Dalam pada itu, Izham memaklumkan Kerajaan Negeri menetapkan tiga syarat ketat sebagai garis panduan utama pembangunan penternakan babi moden.
“Pertama, kawasan penternakan mesti mempunyai buffer zone atau kawasan penampan yang mencukupi kerana ternakan babi perlu ditempatkan jauh dari kawasan awam.
“Kedua, sistem penternakan tertutup mesti digunakan sepenuhnya dan ketiga, pelaksanaan zero discharge policy atau dasar pelepasan sifar, di mana semua air dalam kawasan ternakan perlu diproses serta dikitar semula dan tidak dibenarkan dilepaskan ke sungai, parit atau longkang.
“Najis ternakan akan diproses dalam sistem biogas untuk menjana elektrik, seperti model yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang. Najis tidak akan dilepaskan keluar dari kawasan ternakan dan air pula akan dikitar semula sepenuhnya,” jelasnya.
Izham turut menegaskan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempunyai kuasa penuh untuk menarik balik lesen, mengeluarkan kompaun serta mengambil tindakan mahkamah sekiranya penternak gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.
Isnin lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bahawa Selangor tidak akan menyediakan dana atau membuat sebarang pelaburan bagi operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk projek yang dicadangkan untuk dipindahkan ke Bukit Tagar.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, Baginda turut menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk mengeksport hasil penternakan tersebut.


