Tiada dana negeri untuk ternakan babi, titah Istana Selangor

12 Jan 2026, 10:36 AM
Tiada dana negeri untuk ternakan babi, titah Istana Selangor

SHAH ALAM, 12 JAN: Istana Alam Shah menegaskan Selangor tidak akan menyediakan dana atau membuat pelaburan bagi operasi penternakan babi pada masa depan, termasuk yang akan dipindahkan ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.

"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri," menurut kenyataan yang dikeluarkan istana itu, petang ini.

Kenyataan itu menyusul penjelasan oleh EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim bahawa pemindahan ladang ternakan babi dari Tanjung Sepat ke Bukit Tagar dibuat sepenuhnya melalui inisiatif swasta.

Istana turut meminta kajian terperinci dan bancian menyeluruh dibuat bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi untuk bukan Islam di negeri ini.

Tegasnya, dapatan kajian itu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, supaya ia kekal pada tahap munasabah dan terkawal.

Kenyataan itu turut menyebut Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.

"Baginda menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat. Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur.

"... dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan," menurut istana.

Baginda juga berharap ketetapan itu dilaksanakan dengan tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor.

Terdahulu, Ir Izham menjelaskan pemindahan ladang ternakan babi di Kuala Langat dan Sepang ke Bukit Tagar, dipercepatkan tahun ini, lebih awal daripada perancangan asal pada 2030.

Pada 10 Januari, Sultan Selangor kecewa dengan perancangan membenarkan penternakan babi di Tanjung Sepat sebelum dipindahkan, dengan kebimbangan terhadap pembangunan ladang babi berskala besar di kawasan majoriti masyarakat Melayu.