SHAH ALAM, 15 JAN: Kerajaan Negeri memilih Bukit Tagar sebagai lokasi baharu ternakan babi kerana kedudukannya jauh daripada petempatan penduduk, yang terdekat adalah Felda Sungai Tengi yang terletak 15 kilometer (km) dari ladang, sekaligus mengurangkan gangguan dan isu kebersihan.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata ladang ternakan di Bukit Tagar juga dibangunkan secara moden dan terancang, mematuhi semua syarat ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
“Ladang ini dibina mengikut tiga prinsip utama: penampan untuk menghalang jangkitan, sistem tertutup dan Zero Discharge Policy (ZDP) di mana air kitar semula digunakan untuk menjana biogas dan elektrik bagi memastikan operasi ladang tidak mengganggu penduduk sekitar.
Ladang seluas 500 ekar termasuk ruang penampanan membolehkan operasi ternakan dijalankan dengan lebih terurus dan selamat. Selangor tidak merancang sebarang penambahan ladang baharu dan keperluan tambahan akan dipenuhi melalui import sahaja,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Izham menambah, Bukit Tagar sesuai sebagai lokasi ladang babi kerana terletak di kawasan pengumpulan sampah dan ladang dengan cadangan kolam takungan tambahan yang akan memastikan sisa diproses dalam ladang untuk dijana sebagai biogas dan elektrik tanpa mengalir ke sungai.
Sebelum ini, beberapa pihak menyuarakan kebimbangan yang ladang ternakan babi Bukit Tagar boleh mencemari sumber air sekaligus berisiko menjejaskan sumber air mentah Lembah Klang.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk mengekalkan jumlah ternakan babi di Selangor sekitar 100,000 hingga 120,000 ekor sejajar dengan perancangan industri ternakan yang lebih sistematik dan lestari.
Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan keputusan memindahkan ladang babi di Kuala Langat ke Bukit Tagar adalah untuk menamatkan penternakan cara tradisional kepada cara moden.
Beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan penternak untuk menjelaskan proses pemindahan ladang, syarat pematuhan, langkah keselamatan dan kesan terhadap operasi harian mereka.


