SHAH ALAM, 16 JAN: Seorang doktor klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru di sini atas pertuduhan membunuh isteri dan anak lelakinya, bulan lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Dr Chia Tong Hong, 34, selepas dua pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab dan Majistret A Shaarmini, lapor Berita Harian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat membunuh isterinya, Phun Lai Ling, 37, dan anak lelakinya, Aaden Chia Yee Heng, 5, sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah dekat Jalan Perjiranan 11/12, Bandar Dato' Onn di sini, antara 9.50 malam hingga 10.34 malam, 30 Disember 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan yang boleh sampai 12 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas polis dalam menjalankan siasatan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Atifah Hazimah.
Tertuduh didakwa mengubah kedudukan mayat si mati iaitu anaknya dalam siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perbuatan dilakukan di lokasi sama kira-kira jam 8.10 pagi, 31 Disember 2025 dan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas tuduhan melupuskan kuku palsu isterinya itu dengan niat untuk mengelak daripada hukuman undang-undang di lokasi, masa dan hari yang sama.
Tertuduh yang juga anak tunggal itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nur Fatihah Mohd Nizam dan Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Bernard George.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan terhadap tertuduh kerana kes didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Mac depan bagi serahan dokumen sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA), kimia, forensik dan toksikologi.
Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah pada jam 8.50 pagi menaiki kenderaan polis diiringi pegawai penyiasat dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.
Tertuduh yang memakai pakaian lokap ungu sebelum menyalin t-shirt berwarna kelabu, kelihatan tenang sepanjang di mahkamah dan ketika prosiding berjalan.
Semalam, media melaporkan seorang wanita yang bekerja sebagai akauntan ditemui maut dengan kesan kelar pada lehernya bersama anaknya yang mana kanak-kanak itu dalam keadaan kebiruan di bahagian muka dipercayai akibat tekupan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, dilaporkan berkata, pada 3 Januari lalu polis menahan seorang lelaki bekerja sebagai doktor yang juga suami kepada mangsa wanita terbabit.
Beliau berkata, sebilah pisau dan satu bantal serta sarungnya, turut dirampas.


