SHAH ALAM, 16 JAN: Identiti tiga mayat rentung dalam kebakaran kilang di kawasan perindustrian Olak Lempit, Banting kelmarin disyaki etnik Rohingya.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pengesahan awal dibuat berdasarkan pengecaman oleh individu yang mengaku sebagai waris mangsa.
“Setakat ini, ketiga-tiga mangsa disyaki Rohingya. Kita hantar ke Hospital Banting untuk ujian DNA dan ada tiga individu yang juga etnik Rohingya mengaku waris kepada mangsa dengan merujuk kad pelarian UNHCR,” katanya lapor Berita Harian.
Menurut beliau, keputusan rasmi identiti hanya akan dimaklumkan selepas keputusan ujian DNA diperoleh daripada Hospital Banting.
Dalam masa sama, pihak polis masih menyiasat kehadiran tiga individu terbabit di kilang berkenaan yang difahamkan tidak beroperasi ketika kejadian.
Terdahulu, polis mengesahkan tiga mayat rentung ditemui dalam pemeriksaan lanjut oleh pasukan bomba kira-kira jam 11 pagi, selepas kebakaran dilaporkan malam sebelumnya sekitar jam 10.05 malam.
Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran tersebut melibatkan kilang memproses sisa minyak serta kilang bahan polimer yang diklasifikasikan sebagai bangunan kelas B.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian digesa tampil membantu siasatan.




