Tiga mayat rentung ditemukan dalam kebakaran kilang di Banting

15 Jan 2026, 2:42 AM
Tiga mayat rentung ditemukan dalam kebakaran kilang di Banting
Tiga mayat rentung ditemukan dalam kebakaran kilang di Banting
Tiga mayat rentung ditemukan dalam kebakaran kilang di Banting

SHAH ALAM, 15 JAN: Tiga mayat rentung ditemukan dalam kebakaran membabitkan empat kilang di Kawasan Perindustrian, Jalan 5 Kampung Olak Lempit, Banting malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata setakat ini hanya mayat terbabit ditemui ketika operasi operasi pemeriksaan susulan atau overhaul dijalankan.

“Bomba jumpa mangsa ketika proses overhaul. Setakat ini tiga mangsa ditemui. Semuanya di kilang A,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Ahmad Mukhlis berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 10.03 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kilang memproses minyak dan pemadaman secara 'defensive' dilakukan kerana berlaku letupan di dalam kilang berkenaan.

Berikutan itu, dua kilang musnah terbakar 100 peratus manakala dua kilang lagi masing-masing terbakar lima dan satu peratus.

Pasukan operasi membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), BBP Dengkil, BBP Cyberjaya, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Presint 7 (Putrajaya) serta BBP Nilai, Negeri Sembilan.

Operasi turut membabitkan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Serdang dan PBS Rantau Panjang selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).