SHAH ALAM, 18 JAN: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 bagi 2026 akan disalurkan bermula 20 Januari ini dengan peruntukan RM1.1 bilion.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, seramai 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan akan menerima manfaat bantuan tersebut.
“Penerima akan menerima antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Penyaluran STR tahun ini turut disusun semula bersama Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memastikan bantuan lebih berkesan mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Melalui penambahbaikan itu, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
“STR pula diberikan secara suku tahunan sebagai bantuan tambahan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 ke bawah,” kata kenyataan itu lagi, lapor Berita Harian.
Pendekatan bersepadu ini turut mengambil kira keperluan bantuan bersasar secara stabil dan berkesan, terutamanya ketika musim perayaan atau waktu keperluan puncak.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keseluruhan peruntukan STR dan SARA tahun ini berjumlah RM15 bilion — tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.
Bagi mengelakkan keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun menerusi laman https://bantuantunai.hasil.gov.my
MOF menjelaskan, kelayakan pemohon ditentukan berdasarkan semakan pendapatan serta verifikasi dengan agensi kerajaan termasuk semakan pemilikan aset dan rekod luar negara secara berkala setiap suku tahun.
Pemohon juga diingatkan agar memberikan maklumat yang tepat kerana maklumat palsu boleh menyebabkan bantuan ditarik balik atau dikenakan tindakan undang-undang.
Kementerian turut menasihatkan orang ramai berwaspada terhadap pautan palsu dan penipuan, serta hanya merujuk laman rasmi untuk maklumat terkini.



